Perkembangan Ilmu Perubatan (2)

oleh Prof Dr Burhanuddin Al Helmy, M.D.H., Ph.D

Kemahiran Samuel Hahnemann (1755 – 1843) membawakan satu perubahan besar dalam dunia perubatan dengan pendapatnya yang terkenal dengan cara perubatan Homeopathy.  Sistem ini bertentangan dengan cara perubatan yang berkembang dari arah yang kedua dimana sebab-sebab penyakit itu daripada hama-hama dan serum, seolah-olah lembaga  manusia itu seperti jentera sahaja. Membela dan merawat penyakit itu seperti membela jentera yang rosak. Manakala cara perubatan Homeopathy ini ialah kembali ke arah yang pertama iaitu dasar nyawa dalam hidup manusia. Kuasa akal dan roh (mind) adalah punca di dalam yang menjadi sebab-sebab penyakit yang menjadi idapan dan penderitaan penyakit manusia.

Perbezaan kedua arah cara perubatan itu semakin dibahas dan dipelajari dan masing-masing mengambil perkembangannya dalam dunia ilmu  perubatan.  Perbezaan-perbezaan di antara kaedah Contraria dengan Similia semakin kencang hingga menimbulkan pergeseran dan pertentangan hingga timbul takrif perbezaan sekolah perubatan baharu Homeopathy dan sekolah perubatan lama Allopathy. Homeopathy menumpukan kepada falsafahnya dan usahanya kepada penyembuhan diri orang sakit itu dan perubatan Allopathy pula menumpukan kepada usaha menyembuhkan penyakit hingga timbul kata tiada penyakit hanyalah orang sakit.

Perpisahan di antara persekolahan ini semakin meluas dan masing-masing dengan kesempatan dan perkembangannya. Dalam pada itu datanglah Prof. Currie dan isterinya (1903) mendapat teori atom iaitu letupan dan gerakan atom itu didapati rahsianya daripada bahan Radium yang sentiasa memancarkan cahaya. Pancarannya ini mengeluarkan panas, sinar dan wap.  Terbukti bahawa sehalus-halus benda yang bernama atom itu ada mempunyai tenaga.  Misalnya jika dikenakan panas yang perlahan-lahan kepada satu grain daripada Radium maka panas yang perlahan-lahan, halus-halus itu mengeluarkan bahang yang berwap dan bertenaga bila dicampurkan dengan udara yang bermilion=milion kali lebih banyak daripada bahang wapnya itu namun bahang wapnya tidaklah hilang bahkan masih terpelihara wujud sinar dan panas Radium itu serta tenaga-tenaganya.

Tenaga sinaran Radium ini setelah didapati bukti-buktinya maka dicuba bagi penggunaan perubatan dan telah didapati boleh menyembuhkan bermacam-macam penyakit seperti sakit-sakit, luka kulit, rheumatism dan sebagainya maka dengan bukti-bukti demikian bahawa tenaga atom dan sinaran cahaya Radium itu boleh digunakan oleh Ahli Sarjana untuk menyembuhkan penyakit-penyakit.  Ini adalah membukakan suatu lapangan perhatian ilmu perubatan lebih lagi daripada pendapat teropong yang telah mendapati kuman-kuman dan serum, kerana ternyata tenaga atom boleh memberikan tenaga penyembuhan maka adalah menunjukkan pula bahawa penyakit idapan  itu bukanlah disebabkan oleh kuman atau serum tetapi berpunca daripada tidak betulnya perjalanan hayat dan kuasa hayat sedang jika dibunuh dan dimusnahkan kuman-kuman dengan kekuatan ubat-ubat tetapi selagi kuasa hayat itu tidak betul akan timbul pula kuman-kuman baru yang ditimbulkan oleh kuasa hayat itu sendiri yang mengeluarkan kuman-kuman itu. Sebab penyakit telah terbatal dengan sendiri kerana kuman adalah natijah yang kedua daripada perubahan kuasa hayat.  Sebab yang pertama ialah perubahan kuasa hayat.  Tegasnya perubahan kuasa hayat itu lah yang menimbulkan natijah atau penjelmaan kuman-kuman, serum-serum atau lainnya.

Kenyataan ini semakin memperjelaskan akan kebenaran undang-undang perubatan tabii yang bernama Homeopathy yang didapati oleh Dr Samuel Hahnemann itu kerana datok dan bapa Prof. Currie kedua-duanya adalah doktor turun menurun mengamalkan Homeopathy.

Ubat-ubat atau penawar Homeopathy pada umumnya adalah ubat-ubat yang dibuat dengan cara Dynamisation atau Potentization. Mahakala ubat-ubat itu telah siap dipotentise, katalah pada kuasa 12x atau 30x maka ubat itu sudahlah masuk pada kira Infinitismal atau bertenaga atom. Apalagi jika ubat-ubat itu telah meningkat pada potensi 100, 1000, 10,000 million dan beratus million. Ubat-ubat Homeopathy itu sudah bertenaga penyembuhannya itu melalui tenaga atom. Demikianlah perkembangan perubatan Homeopathy mengambil tempat persekolahan baru dalam dunia perubatan, lapangan sains dan seni perubatan.

Berbalik kita kepada Homeoapathy yaitu satu cara perubatan mengikut undang-undang tabii. Dr Samuel Hahnemann adalah seorang doktor Allopathy yang telah beramal cara persekolahan lama Allopathy itu. Mula-mula Hahnemann mengistiharkan pendapatnya kepada rakan-rakan ahli perubatan dan menerusi Majalah HUFELAND.

Manakala pendapat Hahnemann tersiar kepada tabib-tabib dan doktor-doktor perubatan, ketaralah mula dari hari itu suatu undang-undang tabii yang terpakai bagi menyembuhkan penyakit manusia yang selama ini belum pernah terdapat suatu kaedah perubatan mengikut undang-undang alam yang dapat dipakai bagi menyembuhkan penyakit. Cara perubatan yang dinamakan Homeopathy ini telah menggegarkan seluruh dunia perubatan yang akhirnya membawakan perubahan yang besar dalam dunia perubatan dan perubahannya itu memisahkan pula perubatan cara lama dengan cara baru. Perubatan lama yang tidak memakai kaedah atau undang-undang dengan perubatan baharu Homeopathy yang memakai kaedah dan undang-undang seraksi itu.

Undang-undang Perubatan Tabii tidaklah dapat diketepi begitu sahaja, tidak dapat dikepung, ditahan dan dihalang-halang oleh kekuatan kerajaan dan kekuatan apa juga kerana ia adalah kebenaran yang dicari-cari oleh manusia yang berakal dan berilmu pengetahuan.  Setelah dapat undang-undang seraksi ini tentulah roboh cara perubatan lama itu dan perubatan baharu pula mengambil jalan perkembangan baharu, maka sekarang perubatan baharu Homeopathy telah mendapat sambutan dari bermilion-milion manusia terpelajar di seluruh dunia yang berpelajaran dan berpengetahuan.

Persekolahan perubatan lama terpaksa mengubah cara dan sikap bagi mempertahankan keagongannya berjalan dengan tidak perpandukan undang-undang alam hingga terpaksa ia membuat pertukaran dan perubahan dengan tidak ada panduan undang-undang tabii bagi menuju kesembuhannya yang tabii.

Tetepi Homeopathy tidak sedikit pun berganjak bahkan tetap dengan undang-undang tabiinya terus berjalan dan berkembang.  Sekali undang-undang seraksi telah didapati dan diakui oleh sarjana perubatan akan kebenarannya dan kenyataannya, maka ianya tetap selama-lamanya menjadi suatu kebenaran dan kenyataan.

About ilmutibb

ilmu perubatan
This entry was posted in Perubatan Homeopathy. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s